User Tools

Site Tools


start

Cebisan Sejarah Jenderam

Koleksi beberapa peristiwa di sekitar Jenderam, yang ada direkodkan dalam sumber-sumber setakat yang dapat diperolehi di Internet, dan disusun menurut kronologi peristiwa. Antara sumber utama ialah Arkib Negara Malaysia, keratan-keratan akhbar di NewspaperSG (arkib digital akhbar tempatan yang beribu pejabat di Singapura sejak tahun 1827, kelolaan National Library Board (NLB) of Singapore), serta MyRepositori (arkib digital akhbar tempatan, kelolaan Perpustakaan Negara Malaysia). Pada setiap peristiwa, selain ringkasan liputannya, ditambahkan juga beberapa catatan ringkas atau capaian mengenai perkara atau tempat yang berkaitan, berdasarkan makalah-makalah dan kertas kerja para ilmuwan dan pengkaji sejarah, setakat yang ada di Internet sahaja.

Panorama Jenderam Hulu, 2025
Panorama Jenderam Hulu (Jenderam Hill Villa, 22 Februari 2025: "Jenderam Hill Villa").

Kawasan Sekitar

Kronologi

700-1200 SM: Zaman Purbakala

Jenderam dan kawasan sekitarnya ialah sebahagian daripada lembangan Sungai Langat. Antara petempatan terawal di sekitar Sungai Langat yang dapat disahkan oleh penemuan artifak sejarah, ialah di Jenderam Hilir: “kawasan perlombongan di Jenderam Hilir ini telah dibuat kajian oleh dua orang pengkaji, iaitu Brian C. Batchelor (1977) dan Leong Sau Heng (1977), hasil dari penggalian bijih timah di sini sejak 1969 yang berlokasi di tepi Sungai Langat di kawasan terbuka mereka menjumpai peralatan pada zaman Neolitik (Sebelum Masihi), iaitu peralatan alat beliong batu yang berbentuk segi bujur, alat batu untuk kerja mengisar dan menumbuk serta batu giling untuk mengasah artifek-artifek batu. Kegiatan membuat tembikar tanah juga dilakukan di Kampung Neolitik Jenderam Hilir. Serpihan tembikar juga banyak kedapatan yang ternyata tanah bagi tembikar-tembikar ini adalah tanah tempatan di Jenderam Hilir. Tapak di sini merupakan tapak pertama didiami oleh orang Neolitik dan pertama ditemui di Selangor. Pihak PADAT juga melalui Ketua Kumpulan Penyelidiknya Puan Intan mengesan (April 2012) lokasi yang dikaji Batchelor dan didapati kawasan kajiannya masih belum terganggu. Berdasarkan ujian radio carbon artifek ditemui yang tertua kira-kira berusia antara 1950 hingga 1830 tahun Sebelum Masihi.

Ada 4 tapak lombong bagi 4 Syarikat (sudah tidak bergiat) yang hampir bersambung antara satu sama lain. Kami ditunjukkan oleh Encik Zainuddin Kawasan Rembah Putera lokasi terawal kami sampai, maka dari lombong gali di sini paling banyak diketemui artifek-artifek seperti artifek tembikar Cina yang diketemui sedalam 70 kaki. Kemudian kami bertolak ke kawasan Tiga Sekawan, berikutnya Kawasan Rahman dan terakhir Galian Hamzah yang di sini diketemui Dayung Perahu. Kawasan penemuan artifek-artifek adalah dari kawasan lombong yang keluasan tanahnya dalam lingkungan 50 kilometer persegi yang berkedudukan 6 kilometer dari Dengkel dan 10 kilometer dari Putrajaya. Yang menariknya penemuan di tapak terbuka di sini bukan dari zaman Neolitik sahaja, iaitu dari peralatan batu, tetapi juga mencerminkan penempatan di tepi Sungai Langat di sini dari generasi-generasi berikutnya misalnya penemuan seperti bekas-bekas periuk yang diperbuat daripada tanah antaranya berkaki tiga yang menandakan dari zaman lebih kemudian dari Neolitik dan dari zaman yang lebih kemudian lagi diketemui bahan-bahan seramik yang mempunyai kaitan dengan tradisi pembuatan di beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu dan Selatan dan Barat Thailand. Tembikar sedemikian tidak diketemui di luar dari kawasan tersebut. Lebih menarik kesinambungan dari zaman itu diketemui artifek-artifek seperti kendi, mangkuk seramik, mangkuk gangsa yang menunjukkan ada hubungan dagang masyarakat di Jenderam dengan luar yang menurut Batchelor (1977) mangkuk gangsa dikenal pasti penggunaan antara 700 dan 1200 Selepas Masihi. Jumpaan timah dalam bentuk wang membuktikan masyarakat di Jenderam mempunyai hubungan dagang dengan luar. Jenis wang sedemikian memang diketemui di Lembah Kelang yang digunakan pada awal 1511.


(Sumber: Dr Shafie Abu Bakar, February 28, 2013: |"Membongkar Sejarah Purba Selangor - Lokasinya Di Jenderam").

MAKLUMAT LANJUT: 700-1200 SM: Latar Sejarah Purba: Sungai Langat

Mercu Tanda #1: Bukit Tunggul


“Nama bukit paling terkenal di sekitar Bangi sejak dulu adalah Bukit Tunggul, daripada kita kecil lagi penduduk tempatan dah terbiasa mendengarkan nama Bukit ini, lebih - lebih lagi bila kita berkunjung ke Kg. Sungai Buah nama bukit ini pasti muncul disebut - sebut oleh orang tua kita. Dalam peta - peta lama Inggeris dicatatkan namanya Bukit Tunggu. Ia juga diingati oleh penduduk tempatan sebagai Estet Bukit Tunggul (kini kawasan Bandar Bukit Mahkota Bangi). Lokasi asal Bukit Tunggul ini adalah di bukit yang terletak di kawasan Kuala Semenyih (diantara Kg. Sungai Buah - Jenderam Hilir) yang sebahagiannya kawasan sekarang telah menjadi Bukit Unggul Golf Club. Bukit ini juga pernah menjadi lokasi strategik sebagai peninjau atau kubu sementara semasa Perang Saudara Selangor dan Perang Sungai Ujong. Bukit Tunggul juga merupakan penanda sempadan antara negeri Sungai Ujong dan negeri Selangor pada suatu ketika dulu. Dibawah ini adalah petikan daripada naskah 'Terambo Sungai Ujong' oleh Raja Aman Bin Raja Husin yang dikarang pada tahun 1901 berkaitan asal usul nama Bukit Tunggul. “Sebab bernama 'Tunggul Sejaga' di Kuala Semonyeh, kerana orang Bugis melanggar rayat-rayat disitu. Di pasang damar oleh orang-orang Bugis di atas tunggul tiap-tiap malam. Disumpit oleh rayat-rayat tidak padam-padam. Rayat-rayat lari kerana takut. Mashur nama tempat itu 'Tunggul Sejaga' dan sekarang bernama Bukit Tunggul”” (Faizal Zainal @ Facebook Pekan Bangi, 10 Mac 2025: "Sejarah Bangi. Bukit Tunggul @ Tunggul Sejaga.").

MAKLUMAT LANJUT: Bukit Tunggul

1870-1957: Zaman Kolonial British

1870-an: Pembukaan Jenderam Hulu

1901: Pembukaan Jenderam Hilir

“Kampung Jenderam Hilir terletak di dalam Mukim Dengkil dan mula diterokai pada tahun 1901. Kampung ini mempunyai keluasan kawasan kira-kira 270 ekar, di mana sebahagian besar kawasannya terlibat dalam aktiviti pertanian kelapa sawit dan getah. Lokasi kampung ini terletak bersempadan dengan Kampung Desa Putra dan Kampung Limau Manis di sebelah utara, Kampung Jenderam Hulu di sebelah selatan dan Kampung Semarang di sebelah timur[barat]nya. Di sebelah barat[timur]nya pula ialah Kampung Sungai Buah dan Bangi Lama.” (Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.21).

MAKLUMAT LANJUT: Kampung Jenderam Hilir (1901)

MAKLUMAT LANJUT: Zaman Kolonial British (1870-1957)

1957-Kini: Selepas Merdeka

MAKLUMAT LANJUT: Selepas Merdeka (1957-Kini)

Pengakuan Penting: Kami Bukan Ahli Sejarah!

Perlu ditekankan, kami bukan ahli sejarah! Laman ini sekadar mengumpulkan cebisan maklumat berkaitan sejarah Kajang dan kawasan sekitarnya, setakat yang dapat ditemui di ruang Internet sahaja. Maka pastinya ia amat tidak lengkap, tidak menyeluruh, dan kurang wibawa berbanding karya ilmiah hasil kajian para sejarawan. Perlu diingatkan juga, sumber-sumber yang dinyatakan di sini adalah dari pelbagai sudut pandang dan latar para ilmuwan, pengkaji, wartawan dan editor akhbar, bermula dari awal kurun ke-20 (zaman kolonial British), sehingga kini. Kami cuba menyampaikan kesemuanya secara objektif, namun perlulah juga diakui, terdapat juga kecenderungan kami sendiri, yang terserlah di dalam ulasan dan catatan kami. ;-)

Apa pun, anggaplah ini sebagai usaha pemula sahaja. Selebihnya perlu digali dari sumber-sumber berwibawa yang lain, seperti karya-karya sejarawan, arkib-arkib perpustakaan, muzium, atau premis dan petempatan bersejarah (awam atau persendirian), termasuk juga sejarah lisan warga asalnya. Sebaiknya, semua usaha ini harus dirujuk atau diusahakan bersama para ahli/pakar bidang sejarah. Aktiviti sebegini seharusnya terus giat dijalankan dan disebarluaskan oleh sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan di sekitar Kajang.

Contoh Usaha Pensejarahan

Berikut adalah contoh hasil usaha pensejarahan tempatan yang telah dijalankan untuk bandar Kajang, yang perlu dicontohi oleh institusi-institusi di Bangi:-

Inspiration - SWOTUrban Issues - SWOT
Antara kesan penting kegiatan pensejarahan tempatan yang aktif ialah budaya perancangan bandar yang peka terhadap warisan sejarah dan budaya semasa yang perlu dipelihara dan diraikan seadanya, selain memajukan persekitarannya. Sebagai contoh: latihan kajian pra perancangan Kajang ini tampaknya sensitif terhadap budaya dan sejarah setempat, kemungkinan kesan usaha pensejarahannya sejak beberapa dasawarsa: “The various culture of Kajang & people unfolding through layers of diversity … Sense of belongings with enrichment of old culture, the business that runs on the day & everyday, to make sure the life is on-going … The lack of quality for old generation to be able to adjust to new condition, similarly for the new generation as they hardly adapt to the old culture of Kajang. The old and new are co-exist within the same Kajang yet disconnected in terms of fusion of culture and communication. … The remnants of unmaintained structures, abandoned closed shophouses and the recession of old businesses from time to time tends to increase the possibility of displacement issue as the increase of new development and immigrants causing fading of sense of belonging. … Kajang is dynamic in its aspect of walkability, accessibility with diversed people using the public spaces, yet it is not dynamic in the aspect of cultural integration.” (Yeo Shi Jie, Jul 30, 2020: |"[ A DYNAMIC KAJANG: SITE B ] - Project 1 - 'Preliminary Study’ - Urban Analysis & Precedent Studies").

Perihal Pensejarahan Tempatan

Beberapa penulisan, serta hasil kajian kritis berkaitan pensejarahan tempatan secara umum, sebagai panduan:-

Akhir kata, silakan membaca beberapa peringatan untuk kita bersama:-

Jika ada sebarang pembetulan, cadangan, maklumbalas, dsbgnya, silalah hubungi kami di sini. Semoga bermanfaat!

start.txt · Last modified: by sazli