This is an old revision of the document!
Jadual Kandungan
Kampung Jenderam Hulu (1870-an)
Perihal
“Jenderam Hulu Kampung mempunyai kawasan seluas 12 batu persegi yang mempunyai rupa bumi tanah pamah dan bukit
bukau. Di sebelah timur kampung ini diliputi oleh Hutan Simpan Bukit Tunggul (Unggul). Di sebelah barat lautnya pula adalah Kampung Jenderam Hilir. Di bahagian selatan kampung ini merupakan Ladang Getah Ninkram. Sempadan sebelah utaranya pula ialah Kampung Sungai Buah. Kedudukan kampung ini ialah di Batu 27 1/2 menghala ke jalan raya ke Kampung Salak, 14 batu dari Kajang dan lebih kurang 3 batu dari persimpangan Jenderam Hilir ke Dengkil dan Jenderam Hilir ke Salak.
Kampung ini mempunyai kawasan tanah pamah yang luasnya lebih kurang 500 ekar dan di tengah-tengah kawasan ini mengalir Sungai Jenderam yang mengalir ke barat laut dan bercantum dengan sungai Langat. Selain daripada tanah pamah, terdapat juga bukit bukau di sekitar kawasan sebelah timur. Bukit yang tinggi sekali ialah Bukit Tunggul yang tingginya 915 kaki dari paras muka laut.”

Kiri: “Papan tanda kampung di Kampung Jenderam Hulu.” (2007)
Kanan: “Deretan rumah dan kedai yang dibina di tepi jalan raya di Kampung Jenderam Hulu.” (2007)
(Sumber: “Dipetik dan diubah suai daripada Mohd. Nor bin Mohd. Amin, 1977/1978, Jenderam Korban Dharurat 1948-1958, Kajian Ilmiah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya Kuala Lumpur (tidak diterbitkan)”: Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.28-29).
Kronologi
1870-1890-an: Penerokaan Awal
1870-an: Pasca Perang Klang
“Sejak tamatnya Perang Saudara di Selangor dalam tahun 1874, keadaan negeri ini telah pulih semula. Penduduk-penduduk yang lari ke kawasan persisiran dalam masa Perang Saudara dahulu telah kembali semula ke kawasan pedalaman setelah keadaan menjadi aman. Dalam masa inilah banyak kampung-kampung baru dibuka seperti Ulu (Hulu) Langat, Beranang, Ulu (Hulu) Selangor dan Jenderam oleh orang-orang berketurunan Sumatera.
Didapati bahawa kawasan pedalaman Negeri Selangor banyak dibuka dan diterokai oleh orang-orang dari keturunan Sumatera. Ini kerana kawasan persisiran dari Kuala Selangor sampai ke Jeram sudah diduduki oleh orang-orang Bugis yang membuka negeri ini dahulu. Dari Jeram ke Sungai Pelek, Sepang sudah didiami oleh orang-orang Jawa. Oleh sebab itu, orang-orang Sumatera iaitu orang-orang Minangkabau, Rawa dan Mandiling terpaksa mencari daerah pedalaman, seperti di lereng-lereng bukit. Ini kerana daerah-daerah di persisiran tidak ada kawasan kosong lagi.
Keduanya, orang Minangkabau ini berasal dari negeri asal mereka yang merupakan daerah pergunungan, lereng-lereng bukit dan tanah pamah pinggir sungai. Mereka ini didapati lebih senang dan selesa dengan keadaan yang berbukit-bukit. Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat orang-orang Minangkabau membuka Hulu Langat, Beranang dan Jenderam. Manakala orang Mandiling dan Rawa membuka Kuala Kubu, Kalumpang, Kerling dan Ulu Yam.
Masyarakat Minangkabau ini adalah berpusat kepada pertalian suku dan pertalian keluarga. Biasanya seorang ketua suku yang membuka penempatan baru tidak akan mengambil peneroka-peneroka dari masyarakat tempatan, tetapi lebih suka mengambil orang-orang dari tanah asal keturunannya, dan membina satu masyarakat yang mempunyai hubungan suku dan hubungan darah, berbeza daripada masyarakat tempatan yang berhampiran. Perpaduan mereka itu begitu kuat oleh
kerana mereka berpegang kepada tradisi adat, mamak, kemanakan dan sebagainya. Oleh kerana itulah Penghulu Naim bin Nak yang berasal dari Minangkabau lebih suka mengambil orang-orang keturunan Minangkabau juga, untuk membuka Kampung Jenderam. Itulah sebabnya beliau membawa 16 orang peneroka dari Beranang keturunan Minangkabau untuk membuka kampung ini yang terdiri daripada Datuk Dagang Mondok, Kari Jaafar, Ibrahim, Misad, Imam Yassin, Sutan
Kimbun, Si Udau, Bansat, Sutan Durani, Baginda Basar (Sidek), Baginda Sati, Kumpa, Lamid, Moning, Haji Dusun dan Adam.
Sebelum ini telah ada peneroka lain yang hendak membuka kampung ini, tetapi tidak berjaya. Yang menghalang mereka menjalankan penerokaan ini ialah kerana kawasan ini terdapat banyak gajah dan harimau. Mereka tidak tahan tinggal di sini kerana telah beberapa kali pondok-pondok dan tanaman mereka dirosakkan oleh gajah-gajah ini. Sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan gajah ini datang membuat kerosakan ke atas tanaman dan pondok-pondok mereka.
Lebih menghampakan mereka ialah bencana banjir yang selalu berlaku. Akhirnya peneroka awal ini telah meninggalkan tempat ini dan balik ke kampung asal mereka.”
(Sumber: “Dipetik dan diubah suai daripada Mohd. Nor bin Mohd. Amin, 1977/1978, Jenderam Korban Dharurat 1948-1958, Kajian Ilmiah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya Kuala Lumpur (tidak diterbitkan)”: Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.33-34).
1897-10-09: Permohonan Tanah Sawah dan Kampung
Surat Permohonan Asal
“Inilah sekira-kira permintaan tanah Sungai Jendaram di dalam mukim Langat dan ? nama orang2 yang tersebut di bawah”
| Nombor | Nama Orang2 | Banyak Ekar (Daratan) | Banyak Ekar (Paya) |
|---|---|---|---|
| 1 | Achik Labu(?) | 3 | 4 |
| 2 | Bilal Talib | 3 | 4 |
| 3 | Sulung | 3 | 4 |
| 4 | Imam Perang Yut | 3 | 4 |
| 5 | Bilal Kawa | 2 | 3 |
| 6 | Mahmut | 2 | 3 |
| 7 | Mat Nuh | 2 | 3 |
| 8 | Jaafar | 2 | 3 |
| 9 | Tipuk | 2 | 3 |
| 10 | Nujum | 2 | 3 |
| 11 | Cik Adam | 2 | 3 |
| 12 | Rantau | 2 | 3 |
| 13 | Bati | 2 | 3 |
| 14 | Mahat | 2 | 3 |
| 15 | Talib | 2 | 3 |
| 16 | Ma' Yasin | 2 | 3 |
| 17 | Malim Muda | 2 | 3 |
| 18 | Bakar | 2 | 3 |
| 19 | Omar | 2 | 3 |
| 20 | Rahim | 2 | 3 |
| 21 | Ma' Min | 2 | 3 |
| 46 | 67 |
“Jumlah semua = 113”
Penjelasan Pegawai Daerah
“District Office K. Langat, Dated 9 October 1897.
Sir,
I have the honour to forward herewith 21 applications for sawah and kampong land at Sungei Jenderam aggregating 113 acres.
2. The applicants ask that they be allowed the land free of quit rent for three years and also that they be allowed the privilege of working jungle produce on their land (rattans gutta etc) free of charge.
3. The land is situated at the 14th mile from Sepang on the Reko road and is about equi-distant from Sepang and Kajang. I have visited the spot and recommend that the land be granted free of quit rent for three years as has been allowed at Labuh and Kinchang in the same neighborhood; but do not recommend that the applicants be allowed to work jungle produce free.
4. It will be necessary to decide whether Sungei Jenderam is in the K. Langat or Ulu Langat district and I am therefore writing in separately on this subject.
I have the honor to be,
Sir,
Your obedient servant
?
a.g. District Officer
Kuala Langat”
Maklumbalas Pemangku Residen
“D.O.
No enclosures received. Is it grants that are applied for? ?
S. to. ?.
The land is applied for as customary holdings. I have seen Sergt. Laba who says that the applicants only wish for the right to sell such jungle produce as they find on the blocks of land which they have applied for & which they will have to clear. I enclose the applications. The questions on which I would ask for instructions are
1. Whether the land is in Kuala Langat or Ulu Langat
2. Whether the Govt. is prepared to grant the land on the forms asked for.
?. 24.10.
Ag Resident.
The applicants apparently ask for land from which they may, without paying any quit rent, clear off and sell all jungle produce. There is nothing to assume that they will, or soon intend, to cultivate or improve the land at all. I see no reason why such a prpopsal shd. be entertained for a moment.
? 20.10
Certainly not. The D.O. must understand that the time has gone by when lands are given free of quit rent.
2. If these people want the land and the D.O. finds that it is available, he can give it out to them on receipt of their demarcation fees and the rent for the first year, but he must not let people occupy land until they have paid that.
HCB.[Henry Conway Belfield] 1.11.97”
(Sumber: Arkib Negara 1957/0072721W, 09/10/1897: |"APPLICATION (21) FOR SAWAH AND KAMPUNG LAND AT SUNGAI JENDERAM").
Peta Lokasi (Secara Kasar)


Peta lokasi perkampungan Sungai Jenderam secara kasar (ditandakan dengan bulatan hijau), terletak di tengah-tengah di antara Sepang dan Kajang: “District Office K. Langat, Dated 9 October 1897 … The land is situated at the 14th mile from Sepang on the Reko road and is about equi-distant from Sepang and Kajang.” (Arkib Negara 1957/0072721W, 09/10/1897: |"APPLICATION (21) FOR SAWAH AND KAMPUNG LAND AT SUNGAI JENDERAM").
Kiri: Berdasarkan lakaran peta tahun 1896. Ketika itu Jalan Sepang-Rekoh-Kajang sahaja yang ada (ditandakan dengan garisan merah putus-putus) (Arkib Negara 1957/0062586W, 14/04/1896: |"KAJANG - REKO BRIDLE ROAD-AS TO COST OF CONVERTING IT INTO A CARTROAD -").
Tengah: Berdasarkan lakaran peta tahun 1904. Ketika itu Jalan Sepang-Rekoh-Kajang sahaja yang ada, dan masih melalui sebelah timur Bukit Tunggul (ditandakan dengan garisan merah) (Edinburgh Geographical Institute, 1904 @ Yale University Library - Digital Collections: |"Selangor, Federated Malay States, 1904 / John Bartholomew & Co ; W.T. Wood, chief draftman").
Kanan: Peta lokasi Kampung Jenderam Hulu kini. Jalan Sepang-Rekoh-Kajang kini melalui sebelah barat Bukit Tunggul. Jalan Bangi-Tekok Datok hanya siap dibina sekitar tahun 1918 (Mapcarta).
1909-1910: Pembukaan
“Kampung Jenderam dibuka kira-kira antara tahun 1909-1910 oleh Penghulu Naim bin Nak yang datang dari Kuala Langat bersama-sama Kenton, Orang Tua Sayat termasuk 16 orang Minangkabau yang datang dari Beranang. Menurut cerita, kampung ini dinamakan Jenderam adalah disebabkan daripada keadaan kampung ketika itu selalu ditenggelami oleh air bah. Airnya tidak mudah kering kerana kampung ini terletak di antara dua banjaran bukit iaitu Bukit Tunggul dan Bukit Birut (Berop) dan di tengah-tengahnya mengalir sebatang sungai yang mempunyai jeram. Daripada perkataan Jeram inilah terbitnya nama Jenderam.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa asal usul nama Jenderam Hulu ini berpunca daripada kawasan bukit yang curam. Oleh kerana bukit ini curam maka penduduk kampung memanggilnya “Jeram”. Di tengah kawasan bukit tersebut terdapat satu laluan sungai mengalir. Sungai ini dinamakan Sungai Jenderam.”
Rumah lama di Kampung Jenderam Hulu (2007): “Bahagian atas rumah ini tidak boleh diduduki lagi dan usaha-usaha pemuliharaan segera rumah ini perlu dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan.”
(Sumber: “Dipetik dan diubah suai daripada Mohd. Nor bin Mohd. Amin, 1977/1978, Jenderam Korban Dharurat 1948-1958, Kajian Ilmiah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya Kuala Lumpur (tidak diterbitkan)”: Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.32-33).
“Bagi Penghulu Naim, setelah beliau menerima surat kuasa daripada Sultan Sulaiman untuk membuka Kampung Jenderam, beliau terus pergi ke Beranang untuk membuat perundingan dengan orang-orang tua di situ dan mengajak mereka yang tidak mempunyai tanah membuka penempatan baru. Segala perbelanjaan ditanggung oleh Penghulu Naim. Baginda Sati telah diminta untuk mencari orang-orang yang mahu ikut serta dan telah berjaya mengumpulkan seramai 16 orang. Mereka ini semuanya tidak mempunyai tanah, hanya menumpang dengan sanak saudara mereka di Beranang.
Setelah mendapat orang-orang yang ingin turut serta meneroka tanah di Jenderam, Penghulu Naim pun balik ke Kuala Langat untuk membuat persediaan. Selepas itu beliau pergi semula ke Beranang dengan membawa bersama-samanya Kenton dan Orang Tua Sayat. Dari sana beliau membawa orang-orang Beranang ke Jenderam dengan berjalan kaki ke Bangi mengikut jalan raya dan kemudiannya terus ke Jenderam di samping membawa perkakas dan bekalan. Di kuala Sungai Jenderam telah ada perkampungan Orang Asli dan ketuanya bernama Batin Janang. Penghulu Naim berjumpa Batin Janang
dan meminta nasihat darinya mengenai mana kawasan yang baik untuk dibuat perkampungan. Batin Janang membawa mereka ke kawasan paya yang berhampiran dengan kampungnya. Menurut Batin Janang, luasnya kawasan paya ini lebih kurang 500 ekar dan di sekitarnya mempunyai kawasan tanah yang luas. Di tempat inilah Kampung Jenderam mula-mula dibuka.
Seterusnya, tiap-tiap seorang peneroka diberi 4 ekar tanah, iaitu 3 1/2 ekar tanah paya untuk bersawah dan 1/2 ekar tapak rumah. Apabila kawasan masing-masing telah ditentukan, mereka pun mula menebas dan kemudian menebang secara bergotong-royong. Pada mulanya, mereka semua menebas dan menebang di kawasan Penghulu Naim. Sebelum membuat pondok untuk tempat tinggal sementara, mereka menumpang di rumah Batin Janang dan juga di rumah Orang Asli yang lain. Selepas kawasan Penghulu Naim diterangkan, mereka membuat pondok kecil yang beratap daun Bertam dan berlantai kulit kayu. Pada permulaannya, hanya terdapat 4 atau 5 orang sahaja yang tinggal serumah sementara menunggu yang lain membuat rumah.
Seminggu sekali mereka balik ke Beranang dengan berjalan kaki dan kadang-kadang menaiki kereta lembu untuk mengambil barang-barang keperluan. Kerja-kerja menerangkan kawasan masing-masing telah selesai dalam tempoh enam bulan. Belum pun sempat kawasan itu diperun, padi telah mula ditaburkan di kawasan paya. Menjelang tahun 1910, rumah pondok telah didirikan di tanah masing-masing dan selepas itu barulah mereka membawa keluarga ke sini. Berita orang-orang Beranang membuka tanah di Jenderam, telah tersebar ke merata-rata tempat sehingga ke Lenggeng, Semenyih, Cheras dan Kajang.”
(Sumber: “Dipetik dan diubah suai daripada Mohd. Nor bin Mohd. Amin, 1977/1978, Jenderam Korban Dharurat 1948-1958, Kajian Ilmiah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya Kuala Lumpur (tidak diterbitkan)”: Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.34-36).
1910-1916: Perkembangan Kampung
“Selepas tahun 1911, ramai orang-orang yang tidak mempunyai tanah datang ke Jenderam untuk meminta tanah dan berjumpa dengan Penghulu Naim. Pembahagian tanah telah dibuat oleh Penghulu Naim dan catitan mengenai butir-butir mereka yang telah diberi tanah dibuat oleh Haji Abdullah bin Hussin. Seperti biasa, tiap-tiap seorang diberi
4 ekar tanah kawasan paya untuk bersawah termasuk tapak rumah. Penghulu Naim telah membayarkan premium tanah untuk lebih kurang 50 orang, dan orang-orang yang datang kemudiannya terpaksa membayar premium tanah mereka sendiri. Pada masa itu sesiapa sahaja boleh membuka kawasan baru asalkan dibayar premiumnya.
Antara tahun 1910 dan 1916, lebih daripada 65 keluarga telah ada di sini dan orang-orang dari luar masih lagi datang untuk membuka tanah. Ada juga orang-orang dari Sumatera berketurunan Minangkabau terus datang ke Jenderam kerana saudara mara mereka telah sedia ada di sana. Lebih daripada 90 peratus penduduk Jenderam merupakan orang-
orang Sumatera berketurunan Minangkabau dari suku Pili, Jambak, Koto, Melayu dan Cheniaga (Chaniagor).
Apabila siapnya pembukaan kampung ini, penduduknya terus mendirikan sebuah surau yang dindingnya diperbuat daripada kulit kayu Meranti, lantai papan yang bertarah dengan parang dan atapnya daripada daun Bertam yang dianyam. Surau ini juga digunakan sebagai masjid selain menjalankan aktiviti dan pentadbiran masyarakat kampung. Penghulu
Naim kerika itu adalah sebagai Ketua Kampung, manakala imam ialah Kari Yassin dan bilal ialah ayah Penghulu Malim dan adiknya Mohd. Rashid. Ada dua buah kedai Melayu yang dipunyai oleh Kari Jaafar dan Baginda Basar.
Pekerjaan penduduk Jenderam pada masa itu bersawah padi, mengerjakan tanah, mencari hasil-hasil hutan dan mencari ikan di Sungai Jenderam. Pada masa pembukaan Ladang Getah pada tahun 1911 di Batu 30, tenaga pekerjanya diambil daripada kalangan penduduk kampung ini yang diketuai oleh Penghulu Naim untuk membuat pekerjaan menebas, menebang, membakar, memerun, merumput dan menanam pokok getah. Pada tahun 1916, penduduk kampung telah diberi kebenaran untuk
menanam getah di tanah masing-masing seluas 4 ekar seorang.”
(Sumber: “Dipetik dan diubah suai daripada Mohd. Nor bin Mohd. Amin, 1977/1978, Jenderam Korban Dharurat 1948-1958, Kajian Ilmiah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya Kuala Lumpur (tidak diterbitkan)”: Discovery Research Consultant Management Sdn Bhd, b/p Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, 2007: Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Sepang, hlm.36-37).
MAKLUMAT LANJUT: Kampung Jenderam Hulu: 1910-an
Peta 1913 dan 1918

Kiri: Peta sekitar petempatan awal Sungai Jenderam (1913) sebelum pewartaan rizab Melayu Jenderam, kini dikenali sebagai “Jenderam Hulu”. Ketika itu Jalan Sepang-Rekoh-Kajang sahaja yang ada, dan masih melalui sebelah timur Bukit Tunggul (Central Survey Office, Kuala Lumpur, Federated Malay States (F.M.S.) @ Survey Department, Singapore; 测量局; Singapore. Survey Department, 1913: |"Selangor, Federated Malay States 1913").
Kanan: Peta sekitar petempatan Sungai Jenderam (1918) setelah pewartaan rizab Melayu Jenderam. Jalan Sepang-Rekoh-Kajang kini melalui sebelah barat Bukit Tunggul. Kelihatan Jalan Bangi-Telok Datok telah siap dibina sekitar tahun itu (Central Survey Office, Kuala Lumpur, Surveyor-General's Office, Federated Malay States (F.M.S.) @ Survey Department, Singapore; 测量局; Singapore. Survey Department, 1918: |"Selangor, Federated Malay States 1918").
1890-1948: Pentadbiran British
1948-1950: Permulaan Darurat
MAKLUMAT LANJUT: Permulaan Darurat (1948-1950)
1951-1955: Pemindahan dan Pemusnahan
MAKLUMAT LANJUT: Kampung Jenderam Hulu: Pemindahan dan Pemusnahan (1951-1955)
1957-1959: Merdeka dan Pembukaan Semula
MAKLUMAT LANJUT: Kampung Jenderam Hulu: Kepulangan dan Pembukaan Semula (1955-1959)
1960-1969: Pembangunan Semula
MAKLUMAT LANJUT: Kampung Jenderam Hulu: Pembangunan Semula (1960-1969)




